Fiesta Raya 2026 @ Midtown PERDA telah berlangsung dengan penuh meriah, menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dalam suasana yang harmoni dan ceria.
Antara acara utama yang mencuri tumpuan ialah Festival Qasidah 3.0 Pulau Pinang & Pertandingan Qasidah yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mac 2026. Program ini menghimpunkan kumpulan-kumpulan qasidah dari pelbagai tempat yang mempersembahkan alunan selawat dan qasidah yang indah serta penuh penghayatan. Pertandingan yang dianjurkan turut menjadi platform dalam mencungkil bakat serta memperkasakan seni warisan Islam yang sarat dengan nilai dakwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Selain itu, Pertandingan Mewarna turut diadakan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Penyertaan daripada kanak-kanak pelbagai peringkat umur telah menyerikan program ini dengan hasil karya yang kreatif dan berwarna-warni. Pertandingan yang melibatkan tiga kategori umur ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menonjolkan bakat seni, malah turut memupuk kreativiti serta keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak.
Fiesta ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air seperti Zamani Slam, Ramlah Ram serta Kristal Band, di samping beberapa artis jemputan lain yang berjaya memukau para pengunjung dengan persembahan yang bertenaga dan menghiburkan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, ibu bapa, para penganjur serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan syabas kepada semua peserta atas komitmen serta usaha yang telah diberikan.
Semoga Fiesta Raya ini terus menjadi platform dalam mengeratkan ukhuwah serta memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan berinspirasi.




